entry ni diambil dari sini
Secara umumnya, setiap isteri pasti ada keinginan atau keperluan yang amat penting dalam hidup mereka. Isteri biasanya memerlukan sesuatu daripada suaminya bagi melengkapkan hidupnya bersama suami dan seterusnya dapat melayari bahtera perkahwinan dengan bahagia. Apakah yang dimaksudkan dengan keperluan tersebut dan bagaimanakah caranya seorang suami melakukannya?
Inginkan perhatian
Seorang wanita mungkin sudah mendapat perhatian dan didikan daripada saudara mara, anak-anak, adik-beradik dan rakan-rakannya. Walau bagaimanapun, perhatian sebegitu tidak bermakna dan tidak dapat memuaskan hatinya sebagaia seorang isteri selagi mana dia tidak mendapat perhatian sebegitu rupa daripada suaminya sendiri.
Oleh hal yang demikian, suami mestilah menujukkan sikap prihatin dan didikan yang mantap kepada isteri, sama ada melalui tutur kata atau perbualan, tingkah laku, riak muka, gerakan dan juga perasaannya.
Apabila suami memberikan perhatian yang sepenuhnya kepada isteri, si isteri pasti akan berasa bahawa mereka mempunyai kedudukan yang istimewa dalam hidup suami. Keperluan inilah yang diperlukan dan amat didambakan oleh seorang isteri.
Ingin difahami
Suami perlu betul-betul memahami situasi dan keadaan isteri kerana reaksi sebeginilah yang akan mempengaruhi perasaan dan tingkah laku isteri. Hal ini kerana, isteri menganggap suaminya faham akan keperluan kewanitaannya dan faham situasi yang dihadapinya sebagai seorang wanita dan juga sebagai seorang isteri.
Cara terbaik untuk seorang suami menghadapi keadaan ini adalah dengan membuatkan isteri berasa dihormati dan disanjungi. Suami tidak boleh melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan konflik atau krisis akibat daripada ketidakfahaman suami.
Lebih-lebih lagi semasa isteri berada dalam situasi yang kurang stabil seperti masalah ketikadatang haid, nifas atau penyakit-penyakit lain yang boleh mempengaruhi perilaku dan emosi seorang wanita.
Suami juga dinasihatkan agar tidak meminta atau memerintah isteri untuk membuat sesuatu yang di luar kemampuannya. Cubalah untuk memahami dirinya dengan lebih mendalam.
Ingin haknya dipenuhi
Setiap insan pasti mempunyai hak untuk bersuara dan melakukan apa sahaja yang memang menjadi haknya setiap masa. Namun begitu, mengapa masih ada sesetengah suami yang melarang isterinya untuk mendapatkan hak tersebut?
Bukankah isteri juga seorang manusia, yang juga mempunyai perasaan yang perlu diketahui oleh suami? Isteri harus memperoleh hak-hak tersebut walaupun kadangkala hak tersebut disekat dan dilarang oleh suami yang tidak mempunyai pengetahuan terhadap keperluan dan hak itu.
Setiap pasangan suami isteri tidak boleh menyekat hak pasangan mereka apabila mereka sudah ditakdirkan untuk bersama dalam ikatan perkahwinan.
* Apabila keperluan yang didambakan isteri ini dipenuhi oleh suami, sudah pasti kehidupan berumahtangga pasti akan lebih berseri-seri dan menyebabkan isteri berasa begitu dihargaidan dihormati. Inilah yang menjadi impian dan harapan setiap insan yang bergelar isteri iaitu untuk memiliki seorang suami yang sanggup berkorban apa sahaja demi memenuhi keperluan dirinya.
No comments:
Post a Comment